Nota BM


1. Kata Nama Am - kata yang digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang bernyawa seperti orang, haiwan, dan sesuatu yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan,  tempat , benda, dan sebagainya secara umum. Contoh, ayah, itik, buaya, televisyen, jalanraya, dan sebagainya. Kata nama am boleh dibahagikan kepada dua iaitu konkrit dan abstrak. Kata nama am konkrit ialah nama sesuatu yang dapat dipegang, dirasa atau dilihat. Kata nama am abstrak pula ialah nama sesuatu yang hanya dibayangkan atau dikhayalkan. Kedua kelas kata ini boleh terdiri daripada kata dasar dan kata terbitan. Contoh: buai -> buaian. Kata nama am mestilah menggunakan huruf kecil melainkan pada awal ayat.


2. Kata Nama Khas - kata nama yang secara khususnya digunakan untuk menyebut nama sesuatu benda sama ada benda yang bernyawa dan yang tidak bernyawa. Seperti nama manusia/binatang, nama tempat/judul buku, dan sebagainya.Perkataan Nama Khas digunakan bagi menyebut sesuatu yang tertentu, khusus atau khas. Contoh-contoh perkataan; Inspektor Azman, Volvo, Sang kancil, Kuala Lumpur dan sebagainya. Biasanya huruf pertama perkataan nama khas ini hendaklah ditulis dengan huruf besar.


3. Kata Ganti Nama Diri - terbahagi kepada tiga:  
  • diri pertama:saya, beta, aku, patik, kami, kita, daku
  • diri kedua: awak, engkau, kamu, anda, saudara, saudari, tuan hamba
  • diri ketiga: ia, dia, beliau, mereka, baginda, -nya 


4. Kata Ganti Tunjuk - digunakan untuk menunjukkan tempat atau cara. Contoh: ini, itu, begini, dan begitu.


5. Kata Ganti Tempat - digunakan untuk menggantikan nama sesuatu tempat. Contoh: sana, sini, dan situ.


6. Kata Adjektif - menerangkan sifat orang, benda, dan sebagainya. Contoh, mahal, pendek, layu dan lain-lain.


7. Kata Arah - menunjukkan suatu arah. Contoh, atas, bawah, dalam.


8. Kata Kerja - kata yang menunjukkan perbuatan. Contohnya, berjalan, makan, memakan, dimakan dan sebagainya. Kata kerja terbahagi kepada 2:
  • kata kerja transitif (kata kerja yang mesti disertai oleh objek, iaitu kata nama dan ayatnya berbentuk aktif. Kata kerja transitif aktif menggunakan imbuhan men, men ...i, men ...kan, memper, memper...i, dan memper...kan) 
  • kata kerja tak transitif (segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuat itu sendiri kepada diri pembuat itu sendiri, tidak kepada benda atau orang lain. Kata kerja ini tidak memerlukan penyambut) 


9. Kata Sendi Nama - perkataan yang letaknya di hadapan frasa/kata nama. Antara kata sendi nama yang biasa digunakan ialah:
Di
Dari
Ke
Daripada
Kepada
Seperti
Pada
Dengan


10. Kata Bilangan - digunakan untuk membilang sesuatu/menyatakan jumlah benda. Contoh, satu, dua, tiga dan sebagainya.


11. Kata Hubung - perkataan yang digunakan untuk menggabungkan:
  • perkataan dengan perkataan;
  • rangkai kata dengan rangkai kata; dan
  • ayat dengan ayat
      Contoh: dan, atau, lalu


12. Penjodoh Bilangan - digunakan bersama-sama dengan kata bilangan. Contoh, buah, biji, ketul.


13. Imbuhan - ditambah samada pada awal, akhir atau serentak pada kata. Contohnya,  men-, pen-, di-


14. Kata Ganda - kata yang terbentuk daripada kata yang digandakan, sama ada sebahagian atau seluruhnya. Terdiri daripada:
  • Kata Ganda Seluruh - kata dasar yang digandakan seluruhnya. Kata dasarnya boleh mengambil bentuk kata nama, kata adjektif, kata kerja, atau kata keterangan. Kata ganda seluruh digabungkan dengan tanda sempang (-).

Gandaan Kata Nama
Gandaan Kata Kerja
Gandaan Kata Adjektif
buku-buku
kereta-kereta
pagi-pagi
baring-baring
jalan-jalan
pandang-pandang
awal-awal
bulat-bulat
manis-manis

  • Kata Ganda Separa - terbentuk apabila sebahagian daripada kata saja yang digandakan. Semua kata ganda separa terdiri daripada kata nama, khususnya yang memberi maksud kepada benda atau konsep yang memiliki sifat atau keserupaan dengan kata dasar. Misalnya: cecair (mana-manan bahan yang berada dalam keadaan cair, seperti air atau bendalir), kekunci (butang untuk menaip dari komputer, diilhamkan dari perkataan Inggeris key yang juga bermaksud kunci), lelangit ("langit" atau daerah teratas dalam rongga mulut).
  • Kata Ganda Bersajak atau Berima - kata ganda yang mengalami persamaan atau penyesuaian bunyi (rima) di pangkal, di hujung, atau seluruhnya apabila digandakan. Contohnya: Sayur-mayur, kuih-muih.
  • Kata Ganda Berimbuhan - terhasil dengan membubuh imbuhan di mana-mana tempat dalam kata ganda. Contoh: berbual-bual, berlari-lari.


15. Kata Tanya - digunakan untuk membentuk ayat tanya (bertanya atau menyoal sesuatu).  Kata tanya boleh wujud di awal, di akhir atau di tengah ayat. Contoh kata tanya ialah kenapa, mengapa, bila, apa, mana, bagaimana, siapa dan berapa.


16. Kata Seru - digunakan untuk melahirkan pelbagai perasaan, seperti suka, duka, marah, gembira, mencabar, dicabar dan sebagainya. Contoh: oh, nah, wah.


17. Kata Perintah - digunakan untuk membuat ayat perintah, bagi memberi tindak balas kepada orang yang mendengar (pihak kedua) sebagai larangan, silaan dan permintaan. Contohnya: tolong, sila, jemput.


18. Kata Majmuk - terbentuk daripada 2 patah kata dengan makna yang baru. Contoh: ibu jari, beg tangan.


19. Tanda Baca - ialah simbol yang bertindak untuk menunjukkan struktur serta penyusunan penulisan dan biasa juga, untuk intonasi (turun naik nada suara) dan penghentian sebenar ketika membaca dengan suara yang lantang. Antaranya Titik/Noktah (.), Koma (,), Sempang (-), Tanda Petik (` '/" "), Koma Bertitik (;), Titik Bertindih (:), Tanda Tanya (?), Tanda Seru (!). rujuk: http://ms.wikipedia.org/wiki/Tanda_baca


20. Ayat Penyata - digunakan untuk menyatakan sesuatu. Contoh: Puan Murni seorang guru.


21. Sinonim - kata seerti atau kata yang mempunyai sama maksud. Contoh: masa = waktu.


22. Antonim - kata yang berlawanan maksudnya. Contohnya:
  • lelaki - perempuan
  • bersih - kotor
  • muda - tua.
  • pandai - bodoh


23. Simpulan Bahasa - terbentuk daripada 2 perkataan yang mempunyai maksud tertentu.  Ia digunakan untuk menjelaskan lagi maksud sesuatu pengucapan' dengan membawa  erti yang mendalam. Sebagai contoh; ada hati yang bermaksud ada kemahuan, alas perut pula bermaksud makanan yang dimakan sedikit supaya tidak lapar.